GEDONG: Program Kenegaraan Malaysia bukan sahaja menjadi platform penyebaran maklumat berhubung kenegaraan malah turut memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dengan masyarakat di peringkat akar umbi.
Pegawai Daerah Gedong Tamida Da'adi berkata, program tersebut merupakan wadah penting untuk rakyat bersama menjiwai semangat perpaduan di antara pelbagai kaum dan latar belakang di Malaysia.
“Saya amat berbesar hati kerana Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) telah memilih Daerah Gedong sebagai lokasi penganjuran program ini,” katanya semasa merasmikan majlis perasmian program tersebut di Dewan Datuk Patinggi Ali Gedong pada Sabtu.
Beliau turut menyeru golongan muda untuk merebut peluang daripada pendedahan yang diperoleh serta melaksanakan idea-idea yang dibincangkan.
“Setiap sumbangan, walaupun kecil, adalah penting dalam usaha membangunkan Malaysia Madani yang lebih berdaya saing.
“Saya berharap segala input daripada program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kemajuan daerah Gedong khususnya, dan negara kita amnya,” ujarnya.
Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai prinsip kenegaraan yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Selain itu, ia turut memberi pendedahan berkaitan dasar-dasar terkini negara dan Negeri Sarawak termasuk memahami konsep Malaysia madani sebagai kerangka pembangunan holistik negara.
Pelaksanaan program ini melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan dan persekutuan serta badan berkanun seperti AKM, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Bagi memudahkan urusan masyarakat setempat, beberapa kaunter perkhidmatan turut dibuka sepanjang program, antaranya Kaunter ICU KPM (MySejahtera), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), serta kaunter e-Kasih.
Turut hadir semasa majlis ini ialah Penolong Pengarah AKM Negeri Sarawak, Brendon Anderson Joseph, bersama ketua masyarakat dan ketua kampung dari daerah Gedong.-EDISI UKAS