BGK 2025: Sarawak Sapu Bersih 6 Emas Acara Memanah Berpasukan

Disiarkan pada 27 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Atlet memanah Sarawak mempamerkan aksi luar biasa pada hari ketiga Borneo Games Kuching (BGK) 2025 apabila membolot enam pingat emas dan satu perak dalam kategori berpasukan di MSN Archery Ranch, Petra Jaya, pada Sabtu.

Aksi bermula pada jam 9.00 pagi apabila pasangan Suryani Effendi dan Mohd Zullhannizam Mohamad Alibohan menewaskan Labuan dalam kategori Barebow Mixed Team.

Kejayaan disusuli pasukan Barebow Men Team yang dibarisi Mohd Faizal Rosli, Mohd Zullhannizam dan Yahkub Hashim, menundukkan Labuan sekali gus menyumbang emas kedua.

Bagaimanapun, skuad Compound Women Team Sarawak yang diwakili oleh Aira Nadzirah Aizuddin, Aiza Natasya Aizuddin dan Shaheen Aqilah Fadhillah terpaksa akur dengan pingat perak selepas tewas tipis kepada Kalimantan Timur.

Tidak lama selepas itu, semangat bangkit kembali apabila pasukan Compound Men Team Sarawak yang dibarisi Jaccard Lee, Ryan Yong Shun Lin dan Zhorif Fahim Fadhillah menghadiahkan emas ketiga selepas mengatasi Sabah.

Dominasi Sarawak terus terserlah dalam kategori Recurve. Pada jam 11.00 pagi, gandingan Sabrina Ryusin Chin dan Cecil Nathanael Busu Polycap menewaskan pasangan Sabah untuk memenangi emas Recurve Mixed Team.

Seterusnya pada jam 11.30 pagi, trio Eunice Kong, Konny Su Yee Wong dan Sabrina Ryusin Chin sekali lagi unggul apabila menewaskan Sabah dalam Recurve Women Team.

Kemenangan berganda dilengkapkan pada jam 12.00 tengah hari apabila pasukan Recurve Men Team Sarawak yang dianggotai Cecil Nathanael.
Busu Polycap, Melvin Tieh Xuan Ruey dan Yu Jie Liew berjaya mengatasi Kalimantan Timur untuk emas, manakala Sabah berpuas hati dengan gangsa.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ketua Kontinjen Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat, Isteri Wakil Gabenor Provinsi Kalimantan Timur, Wahyu Hernaningsih Seno Aji dan Timbalan Pengarah Operasi Kontinjen Wilayah Persekutuan Labuan, Lydiawati Hamzah.

Secara keseluruhan, Sarawak menutup tirai acara berpasukan memanah hari ini dengan kutipan enam pingat emas dan satu perak, sekali gus mengukuhkan reputasi negeri itu sebagai kuasa besar dalam sukan memanah di BGK 2025.-EDISI UKAS