SIMUNJAN: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi tujuan pembinaan Kompleks Sabal di sini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, usaha itu adalah sebagai salah satu perancangan untuk pembangunan menyeluruh di Hutan Simpan Sabal yang merangkumi kawasan model ladang hutan.
Menurutnya, kompleks tersebut akan dibangunkan sebagai pusat pelbagai guna yang menempatkan bangunan pejabat, kuarters kakitangan, fasiliti penyelidikan, fasiliti rekreasi dan sebagainya.
"Tempat ini adalah pelbagai guna iaitu untuk penyelidikan, dan untuk orang datang ke sini bagi melihat pengurusan hutan simpan di Sabal di samping juga tempat untuk orang ramai datang bagi berekreasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Sarawak di Hutan Simpan Sabal di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut mencadangkan agar satu blok di Hutan Simpan Sabal digunakan sebagai satu tempat penginapan untuk para pelancong menerokai hutan tersebut.
"Tempat penginapan yang berbentuk pangsapuri untuk para pelancong bagi mereka menghirup udara segar di sini.
"Penginapan juga untuk pelancongan perubatan setelah melakukan rawatan di hospital-hospital di Sarawak bagi melakukan penyembuhan selepas rawatan di samping melihat keindahan di Hutan Simpan Sabal," jelasnya.
Hadir sama dalam program itu ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS