Ahli Parlimen Batang Lupar Turun Padang, Prihatin Nasib Mangsa Bot Karam

Disiarkan pada 27 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS


SARATOK: Keprihatinan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli jelas terserlah apabila beliau segera turun padang meninjau lokasi tragedi bot karam berhampiran Jambatan Krian malam tadi, yang melibatkan 10 penumpang pekerja tapak pembinaan jambatan.

Dalam kejadian petang semalam, enam mangsa berjaya diselamatkan manakala empat lagi masih hilang.

Mohamad Shafizan berkata, pihaknya amat bersimpati dengan nasib keluarga mangsa dan berharap mereka terus tabah menghadapi dugaan ini.

“Tahap kesabaran serta doa daripada keluarga amat penting pada waktu getir ini.

"Kita juga berharap usaha mencari dan menyelamat dapat dipermudahkan,” katanya.

Antara yang hilang termasuk seorang anak tempatan, Mohamad Asfar Sulaiman, 25, dari Kampung Pusa serta tiga lagi warga Indonesia.- EDISI UKAS