KUCHING: Raptai penuh Majlis Penutupan Borneo Games Kuching (BGK) 2025 yang berlangsung di Penview Convention Center (PCC) Demak pada Jumaat berjalan lancar, sekali gus menjadi persiapan akhir sebelum acara rasmi penutupan pada Ahad.
Raptai berkenaan disaksikan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu dengan melibatkan simulasi penuh atur cara majlis termasuk ketibaan dif-dif kenamaan, nyanyian lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku, persembahan selamat datang serta bacaan doa.
Dalam pada itu, pasukan teknikal, urus setia, pengacara majlis dan barisan persembahan turut menumpukan perhatian kepada aspek penyelarasan terakhir bagi memastikan kelancaran majlis penutupan sebenar.
Sesi raptai juga memberi fokus kepada acara penyampaian anugerah atlet terbaik lelaki dan wanita, tayangan video khas serta persembahan hiburan yang bakal menjadi tarikan utama pada malam penutupan nanti.
BGK 2025 yang dianjurkan di Kuching sejak 24 September lalu bukan sahaja menjadi medan persaingan atlet, tetapi turut menjadi platform memperkukuhkan hubungan serantau berasaskan semangat kesukanan.
Majlis penutupan rasmi dijadualkan berlangsung pada Ahad ini bermula jam 8 malam dan akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Hadir sama dalam raptai itu ialah Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak, Datu Hamdan Sharbini. –EDISI UKAS