SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) melakar pencapaian membanggakan apabila jumlah penuntutnya kini mencecah 5,003 orang, sekali gus menepati sasaran 5,000 penuntut yang ditetapkan Kerajaan Sarawak bagi tahun 2027 iaitu dua tahun lebih awal daripada jadual.
Naib Canselor UTS, Datuk Khairuddin Ab. Hamid berkata, perkembangan positif itu dipacu oleh pengambilan baharu September 2025 yang melibatkan seramai 611 pelajar termasuk 588 prasiswazah dan 23 pascasiswazah.
“Daripada jumlah itu, seramai 590 adalah anak Sarawak, 13 dari luar negeri termasuk Labuan, Johor, Sabah dan Selangor, manakala lapan lagi merupakan pelajar antarabangsa iaitu empat dari China, dua dari Pakistan, seorang dari Belanda dan seorang dari Indonesia,” katanya ketika Majlis Sumpah Ikrar Mahasiswa Sarjana Muda Ambilan September 2025 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, UTS, pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, UTS yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak beroperasi sebagai universiti awam negeri dengan sistem pengurusan fleksibel seperti universiti swasta tanpa diskriminasi, kuota atau pemisahan pengambilan pelajar.
Beliau menambah, universiti berkenaan memberi tumpuan kepada empat aspek utama iaitu kualiti pendidikan bertaraf antarabangsa, pembangunan budaya harmoni berbilang kaum dan agama, kesejahteraan penuntut serta aspirasi menjadikan UTS institusi kebanggaan rakyat Sarawak.
Mengimbas pencapaian sejak penubuhannya, jumlah pelajar UTS pada 2021 hanyalah 1,368 orang ketika pandemik COVID-19, namun meningkat kepada 2,229 pada 2022, 2,794 pada 2023, 4,464 pada 2024 dan kini 5,003 pada tahun ini.
“Pencapaian ini amat membanggakan kerana sasaran yang ditetapkan kerajaan negeri berjaya dicapai lebih awal daripada yang dijangkakan,” jelasnya.-EDISI UKAS