MIRI: Sistem perparitan konkrit sepanjang 441 meter bernilai RM250,000 siap dibina di Kampung Pulau Melayu, sekali gus menyelesaikan masalah takungan air dan risiko banjir yang sekian lama dihadapi penduduk.
Peruntukan projek tersebut disalurkan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2024.
Projek yang bermula pada Julai lalu melibatkan pembinaan longkang konkrit selebar 0.9 meter dan sedalam 1.5 meter bagi menggantikan struktur longkang tanah tidak sekata sebelum ini.
Sistem lama sering menimbulkan masalah limpahan dan aliran balik air ketika hujan lebat hingga menjejaskan jalan utama dan membahayakan keselamatan penduduk.
Datuk Sebastian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, turun padang pada Khamis untuk meninjau keadaan sistem perparitan baharu itu.
“Infrastruktur asas adalah elemen penting dalam pembangunan luar bandar."
"Peningkatan sistem perparitan ini membantu menyelesaikan masalah takungan air serta banjir ketika musim hujan, membolehkan penduduk hidup lebih selesa dan selamat,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada keperluan infrastruktur asas secara berperingkat demi kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, beliau menyeru penduduk agar sentiasa memastikan longkang di kawasan kampung sentiasa bersih dan bebas daripada sampah supaya keberkesanan projek dapat dikekalkan.-EDISI UKAS