DARO: Pesta Pulau Bruit 2025 menjadi platform penting dalam memperkasa ekonomi komuniti pesisir selain mengangkat Pulau Bruit sebagai destinasi pelancongan berpotensi di Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, pesta berkenaan mempunyai keunikan tersendiri yang mengetengahkan hasil laut dan tani segar tempatan, sekali gus memperkenalkan keistimewaan Pulau Bruit kepada pengunjung luar.
"Pesta ini mempunyai keunikan tersendiri yang sekali gus memperkenalkan keistimewaan tempatan kepada masyarakat luar," ujarnya semasa Majlis Pelancaran Pesta Pulau Bruit di Dewan Masyarakat Kampung Tekajong, Pulau Bruit, pada Jumaat.
Lebih 300 penduduk dari sekitar Pulau Bruit dan Daro hadir menyaksikan acara tersebut yang disifatkan sebagai platform penting bagi penggalakan ekonomi komuniti selain menjadi daya tarikan pelancongan di kawasan pesisir Sarawak.
Antara pengisian menarik sepanjang pesta termasuk acara sukan rakyat, persembahan kebudayaan, pameran dan taklimat agensi kerajaan, persembahan pentas oleh artis jemputan, Mini Agrofest yang mempamerkan hasil tani dan laut segar, selain cabutan bertuah untuk pengunjung bertuah.
Majlis turut dimeriahkan dengan pameran pendidikan daripada lima institusi pendidikan iaitu CENTEXs, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Sarawak Skills, Kolej Laila Taib serta Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Pesta Pulau Bruit 2025 dijangka terus menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan, sekali gus mengangkat Pulau Bruit sebagai salah satu destinasi penting dalam kalendar pelancongan negeri.-EDISI UKAS