KUCHING: Kontinjen olahraga Sarawak terus menyerlah apabila berjaya menuai 10 pingat emas pada hari kedua saingan Borneo Games Kuching (BGK) 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukan tuan rumah di persada pungutan pingat.
Daripada keseluruhan kutipan tersebut, lima emas diraih pada sesi pagi manakala baki lima lagi disempurnakan pada sesi petang, Jumaat.
Sesi petang dimulakan dengan kejayaan Ng Jing Xuan yang memastikan emas pertama menerusi acara rejam lembing wanita dengan catatan 44.51 meter.
Kemenangan beliau lebih manis apabila dua rakan sepasukan, Farisha Athirah Wai (36.80m) dan Connielyne Anne Peter (35.08m) turut melengkapkan sapuan podium untuk Sarawak.
Kecemerlangan berterusan apabila Maritza Ferrer Neil Armstrong menawan acara lompat jauh wanita dengan lompatan 5.40 meter, meninggalkan dua lagi rakan senegeri, Joanna Sangster (5.01m) dan Darellyn Denisa Deng Dannis (4.94m) di tempat kedua dan ketiga.
Sorakan penyokong tuan rumah semakin bergema apabila Jonah Chang Rigan menghadiahkan emas ketiga melalui acara lempar cakera lelaki dengan balingan 50.26 meter meninggalkan pencabar terdekat dari Sabah, Syed Ali Syed Ahmad (42.52m) di tempat kedua.
Gangsa turut milik Sarawak menerusi Jeremy Langgang Wilson (37.80m).
Dalam acara lompat tinggi wanita, Rosita Lua Jabing mengatasi rakan sepasukan sendiri untuk meraih emas dengan lompatan 1.56 meter.
Chloe Then Shiang Yee (1.53m) dan Thrisya Abong (1.49m) pula terpaksa berpuas hati dengan perak dan gangsa.
Penuaian emas petang itu dilengkapkan oleh pelari pecut, Ormilla Octavia Codday Nyadau yang menjuarai acara 200 meter wanita dengan catatan 25.26 saat.
Tempat kedua diraih wakil Kalimantan Timur (25.49s) manakala gangsa milik wakil Sabah, Siti Norjahera Beliamor (25.62s).
Secara keseluruhan, acara olahraga hari kedua menyaksikan Sarawak menutup tirai dengan pungutan membanggakan 10 emas, 13 perak dan 10 gangsa.-EDISI UKAS