Pendidikan Kunci Masa Depan

Disiarkan pada 26 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS


LUNDU: “Kesusahan hari ini tidak menentukan kegagalan esok.”

Demikian ungkapan penuh makna itu menjadi intipati ceramah inspirasi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang ketika berkongsi kisah perjuangan peribadinya daripada menelaah pelajaran hanya berbekalkan cahaya pelita di kampung hingga berjaya sebagai wakil rakyat hari ini.

Dalam ceramah bertemakan “Pendidikan Kunci Masa Depan, Jangan Pernah Putus Asa” sempena Hari Permuafakatan Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senibong, beliau menegaskan bahawa disiplin, usaha tanpa henti dan sokongan ibu bapa merupakan tunjang utama kejayaan pelajar.

“Keberhasilan tidak semestinya datang kepada mereka yang serba cukup, tetapi kepada mereka yang tidak pernah berhenti berusaha.

"Jangan biarkan cabaran hari ini melemahkan semangat kerana pendidikan ialah kunci untuk membuka masa depan yang lebih cerah,” katanya dalam majlis tersebut pada Jumaat.

Dalam majlis sama, Billy mengumumkan peruntukan berjumlah RM310,000 bagi kerja-kerja baik pulih padang bola sepak SMK Senibong.

Projek ini dijangka memberi nafas baharu kepada kemudahan sukan sekolah, sekali gus membuka lebih banyak ruang pembangunan bakat pelajar dalam bidang kokurikulum.

Selain itu, beliau turut mengumumkan projek tambahan membina pagar baharu di sekeliling kawasan sekolah sebagai langkah memperkukuh aspek keselamatan dan prasarana pendidikan. EDISI UKAS