Pusat Giat MARA Diwujudkan Di Spaoh

Disiarkan pada 03 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SPAOH: Sebuah bangunan yang dinaik taraf di Spaoh bakal dijadikan Pusat Giat MARA bagi menyediakan peluang pendidikan kepada belia di kawasan itu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Pusat Giat MARA tersebut akan memulakan kursus pendawaian elektrik dan teknologi bangunan berasaskan batu-bata.

Menurut beliau, pihaknya telah menilai jumlah yang diperlukan untuk menaiktaraf infrastruktur pusat tersebut dan menjangkakan ia mula beroperasi pada Julai 2024.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berharap agar belia-belia setempat dapat memanfaatkan peluang kemudahan latihan yang ditawarkan.

Datuk Amar Douglas berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke tapak projek naiktaraf bangunan sebagai Pusat Giat MARA di Spaoh pada Selasa. 

Selain itu, beliau bersama pihak agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) menyaksikan serah tapak Projek Naiktaraf Jalan Ladang Getah dan Sawit di Kebun Cina Spaoh kepada pihak kontraktor dengan kos berjumlah RM388,000.

Pada hari yang sama, Datuk Amar Douglas turut menyantuni keluarga yang terlibat dalam kebakaran pada 28 Mac lalu.

Ujarnya, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak(GPS) sentiasa menyediakan bantuan kepada mangsa kebakaran dengan membina rumah baru dengan kos sehingga maksimum RM70,000 dan kini dalam usaha untuk membuat penilaian untuk diluluskan.

Hadir sama Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Roseline Mappng Sabai, Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas, Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) Abang Mohamed Abang Turkey, Timbalan Jurutera Bahagian JKR Bahagian Betong Sandra Luna dan Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Spaoh Denny Lim.-EDISI UKAS