Hak & Kedaulatan Sarawak Dalam Perlembagaan Persekutuan & MA63 Tidak Boleh Diketepikan

Disiarkan pada 26 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Hak dan kedaulatan Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak boleh diketepikan atau dikurangkan hanya kerana kewujudan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 74).

Senator Dato’ Ahmad Ibrahim berkata, Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi di Malaysia dan jelas mengatasi mana-mana akta Parlimen termasuk PDA 74.

“Perkara 4(1) dengan jelas menyatakan Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah terbatal setakat ketidakselarasannya itu.

“Maka, PDA 74 tidak boleh mengatasi hak Sarawak dan Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan serta MA63,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, di bawah Perkara 95D, undang-undang Parlimen yang menyentuh perkara dalam Senarai Negeri seperti tanah dan sumber asli tidak berkuat kuasa di Sarawak melainkan sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal undang-undang untuk menerima pakai akta tersebut.

Sehubungan itu, katanya, walaupun undang-undang persekutuan disokong oleh Ahli Parlimen Sarawak di Dewan Rakyat atau Senator Sarawak di Dewan Negara, ia tidak serta-merta berkuat kuasa di Sarawak tanpa persetujuan DUN.

“Premier atau Ketua Menteri Sarawak tidak mempunyai kuasa untuk menandatangani atau meluluskan mana-mana Rang Undang-Undang (RUU) Parlimen yang menyentuh kuasa Senarai Negeri secara unilateral.

“Persetujuan eksekutif juga tidak boleh menggantikan kuasa legislatif DUN. Tindakan sebegitu adalah tidak sah dari sudut Perlembagaan,” ujarnya.

Menurut beliau, contoh jelas adalah termasuk Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958) yang kekal berkuat kuasa di Sarawak kerana tidak pernah dimansuhkan oleh DUN, manakala Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO 2016) pula digubal bagi memperkukuh hak Sarawak ke atas sumber gas.

Menjelas lanjut, beliau menegaskan, MA63 merupakan perjanjian antarabangsa yang melahirkan Malaysia dan menjamin hak khas Sarawak serta Sabah, termasuk kawalan ke atas tanah dan sumber asli.

Tambahnya, Pindaan Perlembagaan 2022 pula telah mengembalikan pengiktirafan Sarawak dan Sabah sebagai wilayah rakan setara dalam Persekutuan Malaysia.-EDISI UKAS