81 Pili Bomba Di Bukit Assek Dinaik Taraf

Disiarkan pada 26 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Sebanyak 81 unit pili bomba di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek dinaik taraf secara berperingkat menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2023 demi memastikan keselamatan penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, sejumlah RM200,000 telah diperuntukkan bagi tujuan itu dengan kerja-kerja pelaksanaan dikendalikan Sarawak Water Central Region bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sibu.

“Kerjasama erat dengan Bomba Sibu amat penting supaya semua pili bomba dapat diperiksa satu persatu sama ada berlaku kebocoran, kerosakan, tenggelam atau dicuri.

“Inisiatif ini penting kerana Bukit Assek masih mempunyai banyak rumah kayu lama yang terdedah kepada risiko kebakaran.

"Ketersediaan pili bomba yang berfungsi mampu menyelamatkan nyawa dan harta benda,” katanya semasa Majlis Pemeriksaan Akhir Projek Pili Bomba RTP di Pusat Khidmat Bukit Assek, pada Khamis.

Beliau menambah, fasa pertama projek telah disiapkan melibatkan 28 unit dengan kos RM131,350.

Daripada jumlah itu, 16 unit dibaiki, dua injap suis berdiameter 100mm diganti, tujuh pili bomba baharu dipasang menggantikan yang hilang atau dicuri, manakala dua unit tambahan baharu turut dibina.

Bagi fasa kedua, projek ini dibahagikan kepada enam zon iaitu sekitar SMK Methodist, Jalan Tuan Hwa, Jalan Hua Kiew, Jalan Tung Sang, kawasan pusat bandar dan kawasan pembangunan baharu di Bukit Punggol.

Secara keseluruhan, ia melibatkan kerja membaik pulih 71 unit pili bomba dan pemasangan 10 unit baharu.-EDISI UKAS