Gabungan JPS & MPKS Juara Keseluruhan Berpasukan Tenpin Bowling MAKSAK Sarawak 2024

Disiarkan pada 08 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS








KUCHING: Gabungan Jabatan Premier Sarawak (JPS) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) mencatat sejarah tersendiri apabila muncul juara Pertandingan Tenpin Bowling Antara Kelab Gabungan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK) 2024 yang berlangsung di Megalanes Emart, Batu Kawa di sini pada Jumaat.

Kejayaan manis itu suatu yang amat membanggakan selepas JPS turut menjuarai sukan yang sama pada Sukan Kementerian Sarawak (SUKEMSAR) Februari lepas.

Bagi Pengurus JPS dan MPKS Naliyah Saimin, kejayaan tersebut tidak dijangka memandangkan pasukan-pasukan yang bertanding kali ini turut menampilkan saingan yang hebat.

“Kemenangan ini adalah suatu yang tidak diduga dan semestinya ia hari yang gembira buat kami pasukan gabungan JPS dan MPKS.

“Ini memandangkan pasukan yang bertanding ini terdiri daripada pasukan hebat dan mempunyai reputasi tinggi dalam sukan tenpin boling berbanding pasukan kami yang hanya berstatus ‘underdog’.

“Namun, berkat kerja kuat dan semangat berpasukan selain bakat sedia ada yang ada pada setiap ahli pasukan membolehkan cabaran itu berjaya diatasi dan hasilnya kami berjaya mencipta kejuaraan keseluruhan berpasukan,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas upacara penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Pengerusi Kelab Kebajikan Sukan dan Rekreasi (KRES) SALCRA Henray Daris.

Pasukan gabungan JPS dan MPKS telah dibarisi Awang Mohamad Razif Awang Yusuf, Raphael Edward, Mohd Faizal Aris Latipah, Nazirul Hamizan Ismail, Nor Rashidah Nawawi, Naliyah Saimin, Zalina Abdul Rahman dan Siti Zubaidah Bujang.

Terdahulu, pada Khamis telah diadakan pertandingan bagi kategori individu lelaki dan wanita serta pasukan campuran yang menyaksikan pasukan gabungan JPS dan MPKS mencatat keputusan baik.

Dalam pada itu, Naliyah turut bersyukur apabila tiga pemain JPS dan MPKS turut berjaya mengungguli acara Master Wanita dan mencatat keputusan terbaik bagi acara Master Lelaki yang berlangsung pada hari kedua.

“Nor Rashidah berjaya menduduki tempat pertama apabila berjaya membuat 1,400 jatuhan pin dalam lapan set permainan. Seorang lagi pemain, Zalina telah berjaya menempatkan diri di kedudukan ke-17 dengan membuat 1,154 jatuhan pin.

“Sementara itu, bagi acara Master Lelaki, Mohd Faizal menduduki kelompok empat terbaik apabila berjaya mencatat 1,382 jatuhan pin. Nazrin Wagiman dari Kelab Rekreasi UNIMAS A pula mengungguli Master Lelaki dengan 1,591 jatuhan pin.

“Kemenangan mereka bertiga sangat bermakna bagi kami yang kini berusaha menaikan nama dan imej JPS dalam sukan tenpin boling ini,” jelasnya.

Pertandingan anjuran Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) itu telah berlangsung selama dua hari bermula 6 hingga 7 Jun lepas melibatkan penyertaan sebanyak 46 pasukan dari pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Sarawak dan Persekutuan. -Edisi UKAS