Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Dianugerahkan Tokoh Bahasa Iban Daripada UPSI

Disiarkan pada 25 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Numpang yang kini berkhidmat sebagai Penasihat Penyelidikan Sains Sarawak telah menerima Anugerah Penghargaan Ketokohan Bahasa Iban daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Penganugerahan tersebut disampaikan pada Majlis Syarahan Utama Jaku Tangkai Mengandai yang berlangsung di Muzium Budaya Borneo pada Khamis sebagai pengiktirafan terhadap usaha beliau memartabatkan bahasa, adat dan budaya Iban, di samping jasa besar dalam pembangunan masyarakat luar bandar sepanjang lebih 40 tahun berkecimpung dalam politik dan kepimpinan negeri.

Hadir menyempurnakan majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai.

Dalam ucapannya, Datuk Patinggi Alfred Jabu menegaskan kepentingan generasi muda untuk terus menghargai akar budaya dan bahasa sendiri agar bahasa Iban kekal subur sebagai warisan ilmu, identiti serta jati diri bangsa.

“Bahasa Iban bukan sahaja alat komunikasi, malah sarat dengan falsafah, adat resam serta kisah-kisah lama yang menjadi panduan hidup masyarakat sejak turun-temurun,” katanya.

Sepanjang kariernya, beliau dikenali sebagai pemimpin Iban yang konsisten memperjuangkan kepentingan masyarakat luar bandar, khususnya dalam bidang pendidikan, infrastruktur dan pemodenan pertanian.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI Profesor Dr Suriani Abu Bakar berkata, usaha memartabatkan bahasa etnik di UPSI bukanlah baharu bermula pada hari ini.

Katanya, sejak lebih sedekad lalu, sekitar tahun 2010, UPSI telah pun menawarkan kursus minor Bahasa Iban dan Kadazandusun.

"Langkah rintis ini telah membawa satu pengamatan terhadap bahasa etnik di Malaysia dan menjadi asas penting dalam usaha memperkenalkan dan penarafan bahasa etnik, terutamanya bahasa Iban ke menara gading.

"Pada Oktober 2024, UPSI dengan penuh rasa syukur dan bangga dapat memulakan Program Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Etnik) dengan Kepujian, yang memberi tumpuan kepada bahasa Iban, Kadazandusun dan Semai.

"Dalam masa sama, untuk memperkasakan lagi usaha ini, UPSI juga sedang mengusahakan penubuhan Kursi Bahasa Iban.
Penubuhan Kursi ini amat penting bagi membuka ruang kepada penyelidikan mendalam, penghasilan bahan ilmiah dan pembangunan kurikulum yang tersusun dan lestari.

"Fokus kursi ini kepada Pendidikan Bahasa Iban yang menjadi agenda Pendidikan Tinggi negara," jelasnya lagi.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI Profesor Madya Dr Mazura@Mastura Muhammad dan Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Nancy Jolhi. -EDISI UKAS