Program Fun Nancial 2.0 Beri Kesedaran Masyarakat

Disiarkan pada 25 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS


DARO: Program Fun Nancial 2.0 berjaya memberi kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan menabung serta peka kepada pengurusan kewangan berdasarkan teknologi digital masa kini.

Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi berkata, masyarakat harus memanfaatkan penggunaan kemudahan perbankan tanpa tunai yang kini semakin mendapat sambutan di Malaysia, selari dengan perkembangan teknologi kewangan semasa.

“Langkah ini bukan sahaja memudahkan urusan harian, malah mampu meningkatkan keselamatan dalam transaksi kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Program Fun Nancial 2.0 anjuran Agro Bank Cawangan Daro dengan penglibatan lebih 100 orang peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat di Pekan Daro pada Khamis.

Program yang berkonsepkan santai itu turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya pertandingan menghias tabung duit oleh anak-anak Sedidik Matu Daro, kuiz produk Agro Bank serta cabaran teka syiling yang mencuit hati para peserta.

Aktiviti-aktiviti ini bertujuan memberi pendedahan awal mengenai kepentingan celik kewangan khususnya kepada kanak-kanak dan masyarakat setempat.

Turut hadir memeriahkan program ialah Pegawai Daerah Daro, Zul Usup dan Pengurus Agro Bank Cawangan Daro, Rosly Averin Ngadam.-EDISI UKAS