SIMUNJAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Sageng bakal berwajah baharu apabila projek menaik taraf bernilai RM26.691 juta telah dimulakan pada 4 September lalu.
Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee berkata, projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) itu dijangka siap dalam tempoh 32 bulan, iaitu pada 3 Mei 2028.
"Kerja-kerja awal kini sedang giat dijalankan melibatkan proses survei sebelum pembinaan dimulakan secara berfasa, termasuk bangunan pra-sekolah, padang bola sepak, bangunan akademik, dewan baharu serta kerja-kerja menaik taraf blok sedia ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Khatam Al-Quran Perdana Dan Solat Hajat Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) & Tahun 6 SK Sageng pada Khamis.
Ujarnya, usaha ini adalah pelaburan besar untuk masa depan anak-anak agar mereka dapat belajar dalam suasana yang lebih selesa dan kondusif.
Tambahnya, beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris akan terus memantau projek ini agar berjalan lancar dan siap pada tempoh yang ditetapkan.
Sementara itu, Rodiyah menzahirkan tahniah kepada 27 orang murid yang berjaya menamatkan bacaan Al-Quran dan berharap khatam tersebut menjadi titik permulaan untuk mereka membawa cahaya Al-Quran dalam akhlak, tutur kata dan amalan hidup seharian.
"Membaca Al-Quran bukan sekadar ibadah tetapi kandungannya perlu difahami, dihayati dan dijadikan panduan hidup agar melahirkan peribadi yang mulia serta jiwa yang tenang," katanya lagi.
Majlis turut diserikan dengan Solat Hajat sebagai persediaan rohani menjelang peperiksaan UPKK.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Guru Besar SK Sageng Mohd. Ramlan Bohri, Pengerusi Surau Madrastul Hidayah Kampung Sageng Hulu Morshidi Abeng Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) SK Sageng Nurhashima Buliah serta guru-guru, kakitangan dan pelajar SK Sageng. -EDISI UKAS