BGK 2025: Sarawak Mara Bergaya Dalam Acara Badminton

Disiarkan pada 25 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kontinjen Sarawak mempamerkan aksi bertenaga dalam acara badminton pada temasya Borneo Games Kuching (BGK) 2025 apabila menguasai keseluruhan perlawanan saringan sesi pagi menentang Kalimantan Timur, pada Khamis.

Kedua-dua pasukan lelaki dan wanita berjaya menundukkan lawan dalam semua acara sekali gus melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

Bagi kategori lelaki perseorangan, atlet Sarawak Goh Shun Huat memulakan kempen dengan langkah bergaya apabila menewaskan pemain Kalimantan Timur, David Antolient, 21-8, 21-9.

Rakan sepasukan, Shawn Hiu turut memastikan kemenangan mudah selepas mengatasi Ramanda Z. Ramadhani dengan mata 21-13, 21-16.

Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki, pasangan Sarawak Hon Sin Hong dan Jeremy Juan Zhen Liang berdepan cabaran sengit sebelum menundukkan gandingan David Antolient dan Ramanda Z. Ramadhani.

Pertarungan tiga set itu berakhir dengan kemenangan 21-16, 16-21, 21-17, sekali gus melengkapkan penguasaan Sarawak bagi kategori lelaki.

Dalam kategori wanita perseorangan, Janice Tchin Yao Xuan menghadiahkan kemenangan pertama dengan menewaskan Nella Puspita Dewi secara ‘straight set’ 21-17, 21-18.

Seterusnya, Wafa Shahmina Rahman yang pada awalnya tewas 15-21 kepada Karina Ria Hardianti bangkit cemerlang dalam dua set berikutnya untuk mencatat kemenangan 21-7, 21-10.

Momentum kemenangan itu diteruskan oleh pasangan beregu wanita Sarawak Felicia Fong Xin Hui dan Flora Fong Xin Jie yang tidak memberi ruang kepada lawan mereka, Nella Puspita dan Karina Ria apabila menang mudah 21-13, 21-7.

Kejayaan menyapu bersih kesemua perlawanan saringan ini menyerlahkan dominasi kontinjen Sarawak dalam acara badminton sekali gus mengukuhkan keyakinan mereka untuk mara lebih jauh dalam temasya BGK 2025. –EDISI UKAS