Kejohanan Olahraga Tahunan SMK Suai Kali Ke-19 Meriah

Disiarkan pada 25 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBUTI: Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suai kembali meriah dengan semangat kesukanan apabila berlangsungnya Kejohanan Olahraga Tahunan kali ke-19 sekolah itu.

Kejohanan sukan itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus pada Khamis.

Dalam ucapannya, Datuk Rosey menekankan bahawa penganjuran kejohanan sukan bukan sekadar medan merebut pingat, tetapi juga platform penting untuk membentuk sahsiah, disiplin dan semangat kesukanan dalam kalangan pelajar.

“Sukan mendidik tentang erti kerjasama, ketekunan, keberanian mengambil risiko, dan menghormati rakan serta lawan. Semua ini penting dalam membentuk warganegara berdaya saing serta berakhlak mulia,” katanya.

Beliau turut menggesa pelajar menjadikan sukan sebagai gaya hidup sihat, dengan menegaskan bahawa tubuh badan yang cergas akan melahirkan minda yang cerdas.

Kejohanan yang menghimpunkan pelajar daripada pelbagai rumah sukan di SMK Suai berlangsung dalam suasana penuh semangat, sekali gus menjadi platform mencungkil bakat muda serta mengeratkan silaturahim warga sekolah.-EDISI UKAS