BGK 2025: Pentas Persaingan Sengit Dan Pembangunan Atlet Muda Borneo

Disiarkan pada 25 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Penganjuran semula Borneo Games di Kuching selepas lebih 10 tahun mencetuskan impak positif, bukan sahaja sebagai pentas persaingan, malah sebagai landasan pembangunan atlet muda serantau.

Ketua Jurulatih Pasukan Renang Labuan, Yap Jia Jun berkata, kejohanan kali ini cukup tersusun dan mampu memberi pendedahan berharga kepada atlet termasuk kepada perenang muda.

“Ia adalah acara pembangunan yang sangat baik kerana ia mempunyai saringan dan perlawanan akhir.

“Jadi, ia adalah satu persediaan yang sangat baik untuk mereka memahami bagaimana pertandingan sebegini akan diteruskan sehingga apabila mereka melangkah ke Sukan Malaysia (SUKMA), akhirnya Sukan Asia Tenggara (SEA Games).

“Ini adalah batu loncatan yang sangat baik,”katanya ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) semasa acara saringan renang di Pusat Akuatik Pandalela Rinong, di sini, pada Khamis.

Mengulas persaingan, beliau mengakui kontinjen dari Kalimantan, Brunei, Sarawak dan Sabah menghantar barisan terbaik mereka, menjadikan saingan renang cukup sengit.

Yap turut menzahirkan penghargaan terhadap fasiliti di Kuching yang disifatkannya lengkap dan responsif kepada keperluan pasukan.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Renang Sabah, Benjamin Lee, menyifatkan penyertaan acara renang buat julung kali dalam Borneo Games sebagai langkah penting ke arah memperkukuh pembangunan bakat.

“Ia satu permulaan yang baik. Ini adalah kali pertama renang dimasukkan ke dalam Borneo Gmaes. Jadi ia satu permulaan yang baik.

“Kita perlu bermula di suatu tempat. Jadi walaupun peserta kami tidak begitu ramai, tetapi sekali lagi, kita perlu bermula di suatu tempat.

“Saya berharap lebih banyak penyertaan dari negeri jiran dan negara serantau pada edisi akan datang,” ujar beliau.

Bagi Jurulatih Pasukan Renang Kalimantan Timur, Sudarman, menyifatkan kejohanan kali ini sebagai peluang berharga untuk atlet muda mereka menimba pengalaman di pentas antarabangsa.

“Dengan adanya Borneo Games, atlet kami bukan hanya berlatih di provinsi, tetapi dapat bersaing dengan negeri lain.

“Persaingannya cukup sengit kerana setiap negeri dan negara menghantar atlet terbaik masing-masing,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas layanan baik yang diberikan tuan rumah sejak ketibaan kontinjen Kalimantan Timur di Kuching.

“Kami gembira berada di sini. Rakan-rakan di Kuching menyambut kami dengan begitu baik sejak ketibaan di lapangan terbang, termasuk urusan makan serta penginapan di hotel yang semuanya diurus dengan cukup baik,” tambah Sudarman.

Borneo Games pertama kali dianjurkan pada tahun 1955 dan kali terakhir diadakan di Labuan pada tahun 2013.

Acara yang berlangsung dari 24 hingga 28 September ini menghimpunkan lapan acara sukan yang akan dipertandingkan termasuk sukan teras dan tradisional, serta kategori khas iaitu acara akuatik renang, memanah, olahraga, tarik tali, menyumpit, badminton, lawn bowls dan golf.

Borneo Games Kuching 2025 disertai atlet-atlet dari Sarawak, Labuan, Sabah, Kalimantan Timur dan Brunei.-EDISI UKAS