SIBURAN: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) melancarkan Program Pemantapan Pendidikan Sarawak (SEEP) bagi meningkatkan prestasi pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menterinya, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pengenalan program ini akan mensasarkan pelajar dari Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5 agar keputusan SPM Sarawak setanding dengan purata kebangsaan dalam tempoh lima tahun pelancarannya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian pameran dan ceramah pendidikan sempena Karnival Gawai 2024 di Siburan pada Jumaat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat menambah, program ini akan melibatkan kerjasama rapat antara Yayasan Sarawak, MEITD, Jabatan Pendidikan Negeri.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru agar pelajar, pihak sekolah dan ibu bapa dapat memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan program ini agar Sarawak dapat melahirkan lebih ramai graduan berkualiti pada masa yang akan datang.
Hadir sama Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin, Ahli Parlimen Serian Dato Sri Richard Riot Jaem, ADUN Bukit Semuja John Ilus dan Setiausaha 1 Jawatankuasa Sambutan Gawai Dayak 2024 Anielia Siam. -EDISI UKAS