Perkukuh Pendidikan Awal Kanak-Kanak Melalui SPIC 2025

Posted on 23 Sep 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Sarawak sekali lagi membuktikan kepimpinannya dalam memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak (ECCE) melalui penganjuran Sarawak Preschool International Convention (SPIC) 2025 yang berlangsung pada 26 hingga 28 September di The Waterfront Hotel, Kuching.

Bertemakan “Building the Nation Through Quality Early Childhood Education”, konvensyen anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) dengan kerjasama Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak (MPAKS) ini bakal menghimpunkan sekitar 1,350 peserta termasuk pendidik, pembuat dasar, penyelidik serta pengasuh dari dalam dan luar negara.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, SPIC 2025 merupakan platform penting bagi memacu inovasi, memperkukuh pembangunan profesional serta mewujudkan kolaborasi merentas sektor dalam bidang ECCE.

“Pendidikan awal kanak-kanak adalah asas kepada pembangunan modal insan masa depan.

"Melalui SPIC 2025, kita mahu memastikan kualiti pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak terus dipertingkat seiring dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid19 (PCDS) 2030 dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG),” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar di pejabatnya pada Selasa.

Antara pengisian utama termasuk ucaptama oleh Dato Sri Fatimah, pembentangan oleh pakar antarabangsa dari Singapura, Filipina, Jepun, China, Malaysia dan Indonesia, selain sesi perbincangan panel bersama UNICEF Malaysia.

Program turut diserikan dengan bengkel, pameran, sesi jaringan profesional serta lawatan ke prasekolah dan pusat jagaan berprestasi tinggi di Kuching dan Samarahan.

SPIC 2025 akan dirasmikan oleh Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia pada 26 September ini.

Penganjuran konvensyen ini menjadi bukti berterusan komitmen Sarawak meletakkan pendidikan awal kanak-kanak sebagai keutamaan nasional, sekali gus memperkukuh kualiti pengasuhan, mendukung perkembangan tenaga pengajar dan menggalakkan sikap positif masyarakat terhadap pendidikan awal kanak-kanak.-EDISI UKAS