MIRI: Malaysia berbangga apabila tiga anak muda negara terpilih sebagai wakil rasmi dalam Program China-ASEAN Young Leader Growth yang berlangsung di Nanning, China dari 17 hingga 19 September lalu.
Mereka ialah Pengarah Urusan Iana Corporation Sdn Bhd dari Miri, Mohammad Hafidz Rohani, Ketua Pegawai Eksekutif Smarter Solution Edge Sdn Bhd, Chua Sern Teen dan Setiausaha Agung Jawatankuasa Usahawan Muda, Dewan Perdagangan Malaysia-China, Tan E Yang.
Forum berkenaan dianjurkan bersempena Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) dan turut dihadiri oleh Setiausaha Agung ASEAN, H.E. Dr. Kao Kim Hourn, serta Setiausaha Jawatankuasa Parti Komunis China (CPC) Guangxi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Guangxi, H.E. Mr. Chen Gang yang bersama-sama menyampaikan sijil pengiktirafan kepada para delegasi.
Dalam ucapannya, Dr. Kao menekankan peranan penting belia dalam membentuk masa depan rantau ini.
“Wawasan Komuniti ASEAN 2045 menjangkakan masa depan yang aman, mampan, dan inklusif dengan golongan muda sebagai teras kepada inovasi, agen perubahan serta pemimpin masa depan yang bakal membentuk komuniti serantau kita."
"Pelan Strategik Komuniti Sosio-Budaya ASEAN menterjemahkan visi ini kepada tindakan, menyediakan peta hala tuju ke arah ASEAN yang berdaya tahan, berpusatkan rakyat dan bertanggungjawab secara sosial."
"Pemberdayaan belia diiktiraf sebagai keutamaan rentas bidang kerana ia memainkan peranan penting dalam memperkukuh jati diri serantau serta ketahanan komuniti," katanya.
Program itu menghimpunkan 32 pemimpin muda dari ASEAN dan China dengan pendekatan “Lima-dalam-Satu” yang menekankan aspek perdagangan dan ekonomi, penyelidikan bersama, seminar pembelajaran, dialog industri serta projek kecil berimpak tinggi.
Mengulas mengenai pelantikan itu, Mohammad Hafidz berkata, beliau berasa amat bersyukur diberi peluang membawa nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
Penyertaan tiga wakil Malaysia ini membuktikan komitmen negara dalam melahirkan pemimpin belia yang mampu memperkukuh kerjasama serantau, memupuk hubungan rakyat dengan rakyat serta menyumbang kepada pertumbuhan berasaskan inovasi.-EDISI UKAS