MANILA: Malaysia sekali lagi mencipta sejarah di pentas antarabangsa apabila dua pasukan dari Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak (IPGKS) Miri muncul juara dan tempat ketiga dalam kategori Future Engineers pada Kejohanan Robotik Dunia (World Robot Olympiad, WRO) 2025 peringkat Asia-Pasifik yang berlangsung di Manila, Filipina dari 19 hingga 21 September.
Bertemakan “The Future of Robots”, kejohanan berprestij itu menghimpunkan 108 pasukan dari 22 negara dengan hampir 1,000 peserta termasuk dari Jepun, Korea, Taiwan, Jerman, Turki, Amerika Syarikat, India dan Singapura.
Kejayaan Malaysia disumbangkan oleh pasukan X-UNITECH yang merangkul gelaran juara, manakala pasukan NOVATECH pula menamatkan cabaran di tempat ketiga.
Kedua-dua pasukan terdiri daripada enam guru pelatih IPGKS Miri iaitu Vun Xiu Xuan, Alvin Kong Wei Ee, Jennissa Aing Jim, Lai Chaun Choy, Adam Syahmi Mohd Syahrizal dan Muhammad Hakim Khairul Azam, dengan bimbingan Dr. Hu Laey Nee dan Dr. Norsarihan Ahmad serta jurulatih dari Tesslab Robotics.
Kemenangan ini menambah satu lagi rekod cemerlang selepas pasukan IPG Sarawak turut menjuarai kategori Robomission Senior di Slovenia pada 5 September lalu.
Menurut penganjur, kejohanan ini bukan sahaja menguji kemahiran teknologi dan kejuruteraan robotik, malah menjadi platform pelajar belia memupuk inovasi, penyelesaian masalah dan semangat kerja berpasukan.
Pencapaian ini sekali gus membuktikan keupayaan Sarawak dalam memperkukuh pendidikan STEM dan inovasi teknologi, selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak dalam menyokong pendidikan robotik di negeri ini.-EDISI UKAS