Anjung Usahawan Kampung Pemukat Dirasmikan, Lonjak Peluang Ekonomi Penduduk

Disiarkan pada 22 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS


LAWAS: Majlis Perasmian Anjung Usahawan Kampung Pemukat Kuala Lawas pada Ahad berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 500 orang penduduk tempatan.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan diiringi isteri, Dato Dayang Morliah Awang Daud.

Dalam ucapannya, Datuk Amar Awang Tengah menegaskan bahawa penubuhan Anjung Usahawan ini adalah platform penting bagi memperkukuh ekosistem perniagaan komuniti setempat.

Beliau berkata, kerajaan negeri memberi perhatian khusus kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat termasuk penyediaan kemudahan, bantuan modal dan skim pinjaman mudah.

“Kerajaan Negeri melalui Agro Bank dan SEDC telah melaksanakan Sarawak Mikro Kredit iaitu pinjaman tanpa faedah dan tanpa penjamin khususnya untuk golongan B40."

"Kita mahu usahawan bumiputera memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan graduan universiti serta lepasan sekolah teknikal untuk menceburi bidang keusahawanan dengan bantuan geran dan sokongan pembangunan kemahiran.

Katanya, produk tempatan perlu diproses mengikut piawaian keselamatan dan kebersihan bagi menembusi pasaran lebih luas termasuk antarabangsa.

“Lawas berpotensi besar dari segi eksport hasil laut, pelancongan dan industri kecil. Kita mesti ubah sikap, tingkatkan kemahiran dan bekerja bersungguh-sungguh."

"Jika dimanfaatkan, Lawas boleh menjadi destinasi unggul,” tambah beliau.

Majlis perasmian turut menyaksikan simbolik pemukulan gong sebanyak tujuh kali, penyerahan sembilan kunci gerai kepada usahawan, penyampaian saguhati kepada enam pelajar cemerlang SPM 2024, serta anugerah kepada KRT Kampung Pemukat sebagai KRT paling cemerlang peringkat negeri.

Masjid Nor Iman Kampung Pemukat pula menerima pengiktirafan tiga bintang.

Turut hadir, Pengarah NRDA, Datu Ubaidillah Abdul Latif, Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awgku Jinal Abedin Pengiran Dato Jawa, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok serta ketua-ketua jabatan, masyarakat dan kaum.-EDISI UKAS