MARUDI: Lima Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Suarah Baram, Marudi, pada Ahad menerima dana bantuan bencana hasil inisiatif solidariti masyarakat setempat.
Dana bantuan berkenaan disampaikan oleh Naib Ketua Pemuda PBB Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong, kepada Pegawai Daerah Marudi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Marudi, Rose Edward Tarang, untuk diagihkan kepada lima keluarga yang masih ditempatkan di pusat pemindahan tersebut.
Majlis penyerahan sumbangan kepada keluarga terbabit disempurnakan oleh Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Marudi, Fazzwan Yunus, bersama pasukan agensi-agensi di bawah JPBD Marudi yang hadir memberi sokongan.
Menurut Allan, dana berkenaan merupakan hasil kutipan sempena Majlis Makai SERUMPU anjuran Pergerakan Pemuda PBB Cawangan N77 Telang Usan dan N78 Mulu yang berlangsung pada malam Sabtu lepas.
“Sumbangan ini mungkin kecil dari segi nilai, tetapi cukup besar dari segi makna kerana melambangkan rasa keprihatinan dan semangat solidariti."
"Saya berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga terjejas, khususnya bagi membeli barangan keperluan asas sepanjang mereka berada di PPS,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa inisiatif sedemikian mencerminkan komitmen berterusan Pemuda PBB dalam melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap rakyat, bukan sahaja ketika banjir tetapi juga dalam menghadapi situasi kecemasan lain seperti kebakaran atau kematian dalam komuniti.
Bagi keluarga penerima, bantuan ini diharap dapat menampung sebahagian keperluan harian mereka sepanjang tempoh berada di pusat pemindahan, selain memberi sedikit kelegaan di saat terpaksa meninggalkan kediaman akibat bencana banjir.
Sementara itu, pihak JPBD Marudi turut memaklumkan bahawa penghantaran bantuan makanan kepada penduduk terjejas banjir di daerah ini telah digerakkan sejak dua hari lepas.-EDISI UKAS