169 peserta dari 9 kelab permotoran Bahagian Miri meriahkan Rakan UKAS Komuniti: Kembara 169

Disiarkan pada 22 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Keceriaan jelas terpancar di wajah 169 peserta Program Rakan UKAS Komuniti: Kembara 169 yang buat julung kalinya diadakan di Pekan Bekenu pada Ahad.

Mereka terdiri dari sembilan kelab permotoran di Bahagian Miri antaranya Brother Bikers Miri Club (BBMC), Permaisuri Riders Miri Group (PRMG), Scooter Moto Club (SMC), Miri Riders Motor Club (MRMC), Santai Biker Team Bekenu (SBTB), MYY Maxiscooter Motorsport Club (MMMC), Dayak Bikers Mother Chapter (DBMC), Freedom Motive Riders (FMR) dan Ronin Bikers Motorcycle Club (RBMC) mula berkumpul di Waterfront Bekenu seawal jam 6:00 pagi lagi.

Terdahulu, Datuk Abdullah ketika ditemui berharap lebih ramai rakan penunggang motosikal berkuasa tinggi di Miri akan dapat mengikuti konvoi seperti ini hingga ke Kuching apabila Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya kelak.

“Kita akan berkumpul dan berkonvoi sehingga ke Miri yang mengambil masa satu jam. Ini merupakan satu aktiviti yang baik pada hari Ahad. Saya juga berharap di masa-masa akan datang apabila Lebuhraya Pan Borneo ini siap, mungkin lebih ramai lagi sahabat-sahabat ‘biker’ akan dapat menikmati pemandangan ketika berkonvoi dari Miri sehingga ke Kuching,” katanya pada Ahad.

Pelepasan peserta Kembara 169 yang diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol bersama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Datuk Dr Ripin Lamat telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak merangkap ADUN Bekenu Datuk Rosey Yunus seawal jam 9:15 pagi.

Hadir sama di majlis pelepasan itu Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Sibuti Dato Lukanisman Awang Sauni dan Pegawai Daerah Subis Nolila Ulis.

Sepanjang perjalanan itu, setiap peserta konvoi Kembara 169 akan melalui jalan sepanjang 57 kilometer (km) merentasi Waterfront Bekenu – Jalan Kampung Dagang – keluar simpang Jalan Pintas Kampung Dagang – Miri Coastal Road – Bulatan Telang Usan – Persimpangan Lampu Isyarat Lapangan Terbang Miri – Jalan Miri by pass – Vista Perdana dan Permy Mall, Miri.

Turut sama 10 orang marshall yang memastikan kelancaran sepanjang perjalanan itu, sebuah kenderaan Ambulan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan kenderaan Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

Sementara menunggu kehadiran peserta konvoi Kembara 196, telah diadakan taklimat dan kuiz mengenai UKAS dan Inisiatif YAB Premier Sarawak yang dihadiri pelajar, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan tetamu jemputan. Penyertaan yang membanggakan dengan hadiah kuiz telah disumbang Dato Lukanisman.

Ketibaan peserta konvoi Kembara 169 di Permy Mall telah disambut oleh Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin.

Sebelum ke acara penangguhan, peserta-peserta konvoi Kembara 169 yang diketuai Datuk Abdullah dan Datuk Dr Ripin Lamat bergambar kenangan bersama Dato Sri Lee Kim Shin.

Sementara itu, dalam ucapan penangguhannya, Dato Sri Lee menyifatkan Program Rakan UKAS Komuniti: Kembara 169 ini sebagai platform penting dalam mengukuhkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan menyemarakkan semangat patriotik.

“Walaupun sekadar menunggang motosikal selama sejam, namun ia memberi erti yang mendalam kerana mencerminkan keutuhan dan keharmonian semua kaum dan bangsa di Sarawak,” katanya.

Sebelum itu, Datuk Abdullah ketika ditemui media menjelaskan program seperti Kembara 169 ini bukan hanya menyalurkan maklumat mengenai agenda pembangunan Kerajaan Sarawak, tetapi juga menjadi wadah mengeratkan hubungan dua hala agensi kerajaan dengan masyarakat akar umbi.

“Bukan hanya dalam konteks penyaluran maklumat mengenai agenda dan pembangunan kerajaan sahaja, tetapi juga jalinan keterlibatan yang lebih rapat melalui libat urus secara langsung menerusi program seperti konvoi motosikal yang kita lakukan ini,” katanya.

Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan dalam ucapan aluannya menerusi teks yang dibacakan Timbalan Pengarah UKAS Mohamed Faizal Shah Ali memberitahu penganjuran Program Rakan UKAS Komuniti ini mempunyai lima matlamat utama iaitu jalinan silaturahim komuniti, pengukuhan jaringan Rakan UKAS, semangat patriotisme, pemerkasaan generasi muda serta pendekatan interaktif Hari Malaysia.

Kembara 169 dinamakan sempena tarikh 16 September bagi memperingati Hari malaysia sekaligus menzahirkan semangat penyatuan rakyat di seluruh negara. -EDISI UKAS