Hospital Serian Terima Mesin Hemodialisis Tambahan

Disiarkan pada 07 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Hospital Serian menerima sebuah mesin hemodialisis tambahan di bawah bantuan pesakit buah pinggang (BPBP) yang bernilai RM41,150 bagi menambah bilangan mesin sedia ada di hospital tersebut.  

Majlis penyerahan mesin hemodialisis itu telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah di Bilik Persidangan Hospital Serian pada Jumaat. 

Sementara itu, dalam ucapannya, beliau berkata, penerimaan mesin hemodialisis ini dapat menampung bilangan mesin sedia ada berikutan pertambahan bilangan pesakit yang menjalani rawatan di Hospital Serian.

Menurutnya, pada tahun 2023, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak telah membeli sebanyak 24 mesin hemodialisis secara tender dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM987,600. 

“Penempatan dan penambahan mesin hemodialisis di pusat kesihatan kerajaan di seluruh Sarawak adalah mengambil kira keperluan penggunaan mesin atas sebab pertambahan pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan, penggantian mesin hemodialisis yang telah lama dan usang dan kapasiti penggunaan mesin yang tinggi.

"Dengan penambahan mesin ini, ia dapat menampung penambahan pesakit buah pinggang yang mendapatkan rawatan iaitu lima hingga enam orang sehari," tambahnya lagi. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sejak 1 Januari 2020 sehingga 31 April lepas, seramai 198 pesakit buah pinggang telah dibantu melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM9,310,424.75.

Untuk rekod, setakat ini seramai 70 pesakit mendapatkan rawatan di Unit Hemodialisis Hospital Serian dengan mesin hemodialisis di hospital tersebut bertambah daripada tujuh mesin kepada 16 mesin masa kini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus, Timbalan Pengarah Hospital Serian, Dr. Carlos Jining, wakil Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak, Dr. Ting Ming Ming, wakil Residen Bahagian Serian, Mariati Samat, Pegawai Daerah Serian, Inting Nyami dan wakil Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian, Dyg Siti Nurshamira Awg Talip. -EDISI UKAS