LACHAU: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan sarapan pagi di Lachau Food Corner pada Ahad.
Ketibaan beliau bersama isteri pada 9.50 pagi disambut meriah oleh pengunjung-pengunjung yang teruja dengan kehadiran pemimpin utama Sarawak tersebut.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis, ADUN Bukit Begunan Datuk Mong Dagang, Pegawai Daerah Pantu Raca Mulong serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Pantu yang hadir.
Sebelum menjamu selera, beliau berkesempatan untuk bertemu dan beramah mesra dengan penduduk-penduduk yang berkunjung di pekan tersebut
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah juga melawat gerai-gerai melihat produk jualan yang dipasarkan serta turut membeli beberapa barangan jualan sambil terus menyapa pengusaha-pengusaha gerai.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi juga melawat sekitar pekan Lachau untuk melihat keadaan persekitaran sebelum bergerak masuk untuk menjamu selera bersama tetamu kehormat yang hadir dan ahli keluarga.
Sejurus bersarapan, beliau melawat pengunjung kedai meja ke meja bagi menyapa dan bertanya khabar dan seterusnya melawat lagi gerai-gerai di sekitar pekan tersebut sambil membeli beberapa lagi barangan jualan.
Setelah lebih satu jam di sana, beliau bersama isteri terus berangkat ke Sri Aman untuk menyempurnakan Majlis Penangguhan Pesta Benak Batang Lupar 2025 pada sebelah petang kelak. -EDISI UKAS