UKAS Perkukuh Libat Urus Masyarakat Melalui Pendekatan Kreatif

Posted on 21 Sep 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus memperhebat pendekatan libat urus bersama masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar melalui pelbagai aktiviti kreatif dan dekat dengan hati rakyat.

Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak( Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, program seperti Kembara 169 bukan hanya bertujuan menyalurkan maklumat mengenai agenda pembangunan kerajaan Sarawak, malah menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan dua hala antara agensi kerajaan dengan masyarakat akar umbi,

“Bukan hanya dalam konteks penyeluruhan maklumat tentang agenda dan pembangunan kerajaan, tetapi juga jalinan keterlibatan yang lebih rapat melalui libat urus secara langsung menerusi program seperti konvoi motosikal yang kita lakukan pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penangguhan Program Rakan UKAS Komuniti: Kembara 169 di sini pada Ahad.

Datuk Abdullah menambah, UKAS juga akan memperluaskan lagi penglibatan masyarakat dengan menganjurkan aktiviti yang diminati belia seperti sukan, seni pentas, nyanyian dan teater.

“Melalui penglibatan secara langsung begini, penyeluruhan maklumat lebih menyeronokkan supaya metodologi penyampaian tidak hanya melalui berita atau ucapan semata-mata,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa UKAS mahu memastikan maklumat disampaikan dengan lebih interaktif dan mesra, termasuk melalui kelas tutorial, permainan digital serta aktiviti berkaitan ekonomi digital yang dekat dengan golongan muda.

Sehubungan itu jelasnya, UKAS membuka ruang kepada belia, termasuk wanita, untuk tampil dengan idea program yang sesuai dilaksanakan di peringkat kampung, rumah panjang dan komuniti setempat.

“Kalau ada di kalangan masyarakat, warga belia terutamanya wanita, yang mempunyai perancangan sendiri, sila hubungi UKAS dan kita boleh berbincang cara menganjurkan program tersebut,” ujarnya.

Terdahulu, Datuk Abdullah bersama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus dan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat turut hadir menyempurnakan acara ‘Flag Off’ di Waterfront Bekenu bersama 169 ‘Riders’ dari kawasan Bahagian Miri.-EDISI UKAS