Program Rakan UKAS “Kembara 169” Kukuhkan Perpaduan, Semarak Semangat Kenegaraan

Disiarkan pada 21 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Program Rakan UKAS 2025 “Kembara 169” disifatkan sebagai platform penting dalam mengukuhkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum serta menyemarakkan semangat kenegaraan.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penganjuran program itu bukan sekadar aktiviti riadah semata-mata, tetapi membawa mesej besar tentang keharmonian, kekeluargaan dan semangat cintakan negara.

“Walaupun sekadar menunggang motosikal selama sejam, namun ia memberi erti yang mendalam kerana mencerminkan keutuhan dan keharmonian semua kaum dan bangsa di Sarawak,” katanya.

Berliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Rakan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Komuniti 2025 Kembara 169 di Permy Mall, Miri pada Ahad.

Program yang menghimpunkan komuniti bikers serta pelajar IPTA dan IPTS di sekitar Miri ini turut menyerlahkan semangat Malaysia Madani dengan semangat Segulai Sejalai yang menjadi teras keharmonian negeri ini.

Dalam pada itu,Dato Sri Lee turut menekankan aspek keselamatan jalan raya dan mengingatkan golongan belia agar tidak terjebak dengan budaya mat rempit yang boleh mengundang tragedi.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa program seumpamanya seiring dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang menekankan keterangkuman sosial dan pembangunan seimbang seluruh Sarawak.

Beliau dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada UKAS dan semua agensi terlibat yang telah memastikan kejayaan program Rakan UKAS 2025 “Kembara 169”, sekali gus mengangkat martabat semangat kenegaraan di Bumi Kenyalang.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak( Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Residen Bahagian Miri, Galong Luang, Pegawai Daerah Miri, Siti Rohanie Yusof dan Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali serta tetamu yang hadir.-EDISI UKAS