Kejuaraan Cabaran Silat Tertutup Tarik Penyertaan 9 Pasukan

Disiarkan pada 21 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Sebanyak sembilan pasukan dari Kuching, Sibu dan Bintulu mengambil bahagian dalam Kejuaraan Cabaran Silat Tertutup yang diadakan pada Ahad sempena Kejohanan Muaythai Piala Premier Sarawak 2025.

Ia dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee dan turut dihadiri Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim.

Dalam ucapannya, Iskandar memuji dan menyambut baik inisiatif PMNS dalam menganjurkan kejohanan tersebut yang menjadi platform dalam mengekalkan warisan budaya Melayu.

Katanya, penganjuran kejohanan itu juga dapat menjadi platform dalam menggalakkan belia khususnya di Bintulu dan sekitarnya mengamalkan hidup sihat.

“Tahniah kepada Persatuan Muaythai Negeri Sarawak atas penganjuran kejohanan ini. Inilah pendekatan yang baik untuk kita mencungkil bakat-bakat baru dalam sukan silat ini,” katanya.

Katanya, usaha itu dilihat selaras dengan usaha kerajaan Sarawak yang mahu menjadikan negeri ini sebagai kuasa sukan.

Dalam pada itu, Jumaat memberitahu pihaknya komited untuk meneruskan penganjuran kejohanan itu di masa akan datang selagi ada sokongan dari semua pihak.

Malah beliau memberi bayangan mahu menganjurkan kejohanan sama dalam skala lebih besar di masa akan datang bagi menarik lebih ramai lagi penyertaan.

Selain kejohanan silat, turut diadakan beberapa aktiviti pada hari terakhir Kejohanan Muaythai Piala Premier Sarawak 2025.

Antaranya ialah pertandingan dart, push bike dan esports yang menarik penyertaan memberangsangkan dari masyarakat dan belia setempat.

Pada masa sama, Iskandar turut diberi penghormatan menyampaikan hadiah kategori baharu iaitu berpasukan 5 vs 5 di mana pemenang membawa pulang Piala Interclub Borneo.

Kategori baharu tersebut dimenangi oleh Kelab Muaythai Sting. - EDISI UKAS