LAWAS: Lawas berpotensi menjadi pemacu utama pembangunan telekomunikasi dan multimedia di Wilayah Utara Sarawak sekali gus membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi digital negeri menjelang 2030.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata telekomunikasi bukan lagi dianggap sebagai kemudahan tambahan, tetapi merupakan hak rakyat untuk berhubung, mendapatkan maklumat dan menikmati peluang ekonomi serta pendidikan yang setaraf dengan bandar besar.
“Saya ingin tekankan bahawa semua inisiatif ini hanya akan berjaya jika kita semua memainkan peranan. Agensi pelaksana, kontraktor, dan masyarakat perlu memastikan projek telekomunikasi berjalan lancar tanpa gangguan seperti vandalisme atau kecurian peralatan.”
“Yang penting ialah memastikan infrastruktur yang lebih baik serta memberikan perkhidmatan yang diperlukan supaya masyarakat dapat turut serta dalam semua aspek pembangunan,” katanya ketika berucap merasmikan Sesi Libat Urus Pembangunan Telekomunikasi dan Multimedia Sarawak, Bahagian Limbang di Hotel Seri Malaysia, Lawas, pada Sabtu.
Menurut beliau, kedudukan strategik Lawas yang bersempadan dengan Sabah, Brunei dan Kalimantan meletakkannya sebagai pintu masuk penting kepada perdagangan, pelaburan dan pelancongan antarabangsa.
Majlis turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SMA dan Agensi Nuklear Malaysia, bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan telekomunikasi, penyelidikan serta inovasi teknologi digital.
Kerjasama itu diyakini dapat memastikan pembinaan struktur telekomunikasi di Sarawak menepati piawaian nasional, selamat dan berupaya menyokong pelaksanaan Ekonomi Digital Sarawak 2030.
Acara diteruskan dengan sesi soal jawab, penyampaian cenderahati kepada penceramah jemputan dan tetamu kehormat, sebelum diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai serta jamuan.-EDISI UKAS