Lumpur Bebuak Tarikan Pelancong Baharu Limbang

Posted on 21 Sep 2025
Source of News: UKAS


LIMBANG: Lumpur Bebuak bakal diangkat sebagai produk pelancongan ikonik Limbang susulan penganjuran Pesta Lumpur Bebuak 2025 di di Kampung Meritam, Limbang pada Sabtu.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kedudukan strategik Limbang yang diapit oleh dua wilayah Brunei menjadikan daerah ini sebagai “Centre of The World” dan membuka ruang besar kepada sektor pelancongan.

“Dengan adanya pembangunan infrastruktur utama seperti Sarawak-Sabah Link Road (SSLR), Northern Coastal Highway dan Trans Borneo Highway, peluang pelancongan antarabangsa di Limbang akan semakin cerah menjelang 2030,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian berkenaan.

Beliau turut menegaskan keperluan penswastaan pengurusan tapak Lumpur Bebuak bagi memastikan kelestarian kemudahan pelancongan serta penyelenggaraan jangka panjang.

Pada majlis sama, beliau menyaksikan penyerahan rasmi projek kemudahan awam oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) kepada Majlis Daerah Limbang (MDL).

Peruntukan sebanyak RM10,000 turut diumumkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Meritam kumpulan hadrah dan kumpulan silat Kampung Meritam.

Pesta tahun ini turut menerima sokongan dana RM50,000 daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).

Pesta Lumpur Bebuak yang memasuki edisi keenam ini berlangsung selama dua hari, menampilkan pelbagai acara menarik termasuk Bola Tampar Bebuak, Petanque Terbuka, Wall Climbing, Bebuak Warrior, Bowling Kelapa dan Rentas Desa.

Penganjuran pesta ini diharap dapat terus mengangkat Lumpur Bebuak sebagai produk pelancongan unik, sekali gus menghidupkan industri sokongan seperti homestay, kraftangan dan makanan tradisional di daerah Limbang.-EDISI UKAS