BINTULU: Warga Bintulu kini berpeluang menikmati sukan baharu yang semakin popular di peringkat antarabangsa menerusi pembukaan Kenyalang Pickleball Central Bintulu pada Sabtu.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu menegaskan komitmen kementeriannya dalam menyokong perkembangan sukan Pickleball yang semakin mendapat tempat di Sarawak.
Menurutnya, meskipun gelanggang badminton dan tenis sedia ada banyak digunakan untuk aktiviti pickleball, namun masih belum ada gelanggang khusus dibina bagi sukan tersebut.
“Permintaan terhadap pengajaran serta penganjuran aktiviti Pickleball semakin meningkat.
“Tidak mustahil sukan ini akan dipertandingkan dalam temasya SUKMA pada masa akan datang,” katanya ketika merasmikan Kenyalang Pickleball Central Bintulu.
Sementara itu, beliau memberitahu, Bintulu yang sedang pesat membangun sebagai hab perniagaan memerlukan lebih banyak pusat riadah untuk masyarakat.
“Usaha ini bukan sahaja membina bakat sukan, malah turut menyumbang kepada gaya hidup sihat. Saya yakin Bintulu akan dikenali sebagai ‘home of Pickleball’ pada masa akan datang,” katanya.-EDISI UKAS