BINTULU: Kejayaan Kesatuan Pekerja-Pekerja Syarikat SESCO Berhad Sarawak (KPPSSBS) meraih Anugerah Emas kategori Sains Sosial di Borneo International Technology Expo 2025 membuktikan kesatuan pekerja kini melangkaui fungsi tradisional, sekali gus tampil sebagai pencetus inovasi di peringkat antarabangsa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, berkata pengiktirafan tersebut meletakkan KPPSSBS sebaris dengan universiti serta industri antarabangsa yang selama ini mendominasi bidang penyelidikan dan pembangunan.
“Pencapaian ini luar biasa kerana berjaya menyaingi institusi besar.
“Ia membuktikan bahawa Kesatuan Pekerja SESCO bukan sahaja melindungi pekerja hari ini, malah bersedia menghadapi cabaran masa depan dengan perancangan kepimpinan yang jelas,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan Ke-6 KPPSSBS pada Sabtu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelidik diketuai Puan Junaidah binti Selihi bersama kumpulannya yang menghasilkan kajian strategik perancangan penggantian kepimpinan sehingga melonjakkan nama kesatuan ke peringkat antarabangsa.
Menurut Johnny, perubahan teknologi, automasi dan persaingan global menuntut kesatuan agar lebih inovatif dalam memperjuangkan hak pekerja tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi.-EDISI UKAS