KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang meneliti keperluan memperkenalkan lesen kucing bagi memperkukuh kawalan terhadap wabak rabies di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, langkah itu penting supaya jumlah haiwan yang divaksin dapat dipantau secara teratur.
“Sekarang, anjing perlu ada lesen tetapi kucing tidak perlu lesen.
“Dengan situasi ini, kita meminta penglibatan komuniti untuk melihat sama ada komuniti bersama pakar boleh memutuskan bahawa kucing juga perlu ada lesen.
“Mengapa perlu ada lesen, supaya kita tahu berapa banyak kucing yang sudah divaksin atau tidak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Rabies Sedunia 2025 pada Sabtu.
Setakat ini, sebanyak 278,000 haiwan telah divaksin, termasuk 10,957 ekor pada tahun ini sahaja.
Namun, daripada 490 sampel yang diambil, 45 haiwan dikesan positif rabies, melibatkan 34 kucing dan sembilan anjing.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS), Dr Adrian Susin Ambud, menyeru orang ramai agar memastikan haiwan peliharaan mereka divaksin secara tahunan bagi membentuk imuniti kelompok.
“Kami ingin merayu kepada orang ramai supaya tampil untuk membawa anjing mereka divaksin. Ini kerana ia masih percuma. Ia adalah mandatori di bawah Seksyen 40, 1999, Kesihatan Veterinar Awam,” katanya.
Beliau menambah, vaksinasi percuma masih dijalankan manakala program pemandulan haiwan turut digalakkan bagi mengawal populasi anjing dan kucing berkeliaran.-EDISI UKAS