Makmal Bersama STEM Bakal Dibina Untuk Sekolah Tanpa Kemudahan

Posted on 20 Sep 2025
Source of News: UKAS


SIMANGGANG: Kerajaan Sarawak bakal membina penubuhan makmal bersama (common lab) bagi memastikan pelajar sekolah mendapat akses lebih baik kepada pembelajaran STEM, khususnya di sekolah yang tidak mempunyai kemudahan makmal.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, masih terdapat sekolah yang tidak mempunyai makmal menyebabkan pelajar hanya bergantung kepada hafalan buku semata-mata.

"Oleh itu, saya beritahu Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak kita perlu adakan satu makmal bersama (common lab) yang boleh dikongsi oleh sekolah-sekolah yang tidak mempunyai makmal.

"Dengan cara ini, barulah pelajar dapat benar-benar belajar mata pelajaran sains," katanya demikian ketika berucap merasmikan Pesta Benak Batang Lupar 2025 di Tebingan Sungai Sri Aman pada Sabtu.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu akan merasmikan ciptaan cip baharu di UK di mana anak jati negeri ini berjaya menghasilkan cip berasaskan gallium compound, menjadikannya yang pertama seumpamanya di dunia.

Jelasnya, cip baharu ini digunakan dalam industri automotif yang dengan bahan mentahnya datang daripada 'rare earth'.

"Saya akan merasmikan di UK kerana terdapat ciptaan baharu oleh anak Sarawak buat pertama kali di dunia iaitu cip berasaskan wafer bukan daripada silikon, tetapi daripada bahan yang dipanggil gallium compound chip," ujarnya.

Beliau menegaskan, walaupun Sarawak memiliki sumber 'rare earth' namun teknologi pengeluarannya masih belum dikuasai.

Justeru, kerajaan akan menghantar pelajar hingga ke peringkat PhD untuk menguasai teknologi ini bagi memahami proses pengeluaran bahan tersebut daripada sumber sendiri.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, ketua-ketua jabatan serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS