SIMANGGANG: Bahagian Sri Aman akan menjadi tapak percubaan bagi teknologi baharu pengairan sawah padi di Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, teknologi tersebut berasaskan sistem hidro pam ini menggunakan sumber air sungai yang dipam ke atas sebelum dialirkan ke kawasan sawah.
Tambahnya, air tersebut seterusnya akan mengalir secara graviti, sekali gus turut menjana tenaga elektrik yang memberi dua hasil serentak.
"Dengan itu, kita mendapat dua manfaat iaitu pertama elektrik dan keduanya pengairan sawah.
"Inilah yang akan kita cuba laksanakan di kawasan bandar Bahagian Sri Aman, menggunakan teknologi yang memberi dua hasil serentak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Benak Batang Lupar 2025 di Tebingan Sungai Sri Aman pada Sabtu.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, dengan Sarawak kini mula memfokuskan kepada penanaman padi dan hasil tanaman lain, hasil pertanian ini perlu dikongsi dengan negara-negara yang ingin mengimport.
Justeru katanya, penubuhan AirBorneo adalah langkah penting memastikan eksport hasil pertanian dapat dihantar memandangkan terdapat hasil pertanian yang perlu dieksport segera.
"Sebab itu, kita perlu mengikut cara baharu termasuk menjual barangan kita menggunakan pendekatan baharu.
"Atas dasar itulah kita menubuhkan AirBorneo, bukan sahaja untuk membawa penumpang, tetapi juga kargo.
"Inilah cara-cara kita, dan ia dapat memasarkan hasil kita dengan lebih cepat ke pasaran," jelasnya.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, ketua-ketua jabatan serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS