2025 JCI TOYM Rai 10 Anak Muda Cemerlang, Separuh Penerima dari Sarawak

Posted on 20 Sep 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Majlis Anugerah Ten Outstanding Young Malaysians (TOYM) 2025 anjuran Junior Chamber International (JCI) Miri menghimpunkan 10 anak muda cemerlang dari pelbagai bidang profesional. di Pullman Hotel Miri pada Jumaat malam.

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin dalam ucapannya, merakamkan tahniah kepada semua penerima serta mengimbau kembali pengalamannya sendiri yang pernah dinobatkan sebagai penerima JCI TOYM pada tahun 1986.

“Menjadi penerima anugerah bukan bermakna kita berada di atas semua orang. Kita harus terus merendah diri, memberi sumbangan ikhlas, dan berkhidmat dengan penuh keikhlasan. Itulah yang penting,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan majlis.

Dato Sri Lee turut menekankan bahawa pengiktirafan tersebut seharusnya dijadikan motivasi untuk berusaha lebih gigih, berbakti kepada masyarakat serta memberi sumbangan berterusan kepada negara.

Beliau dalam masa yang sama menzahirkan rasa bangga apabila separuh daripada penerima tahun ini berasal dari Sarawak.

“Saya amat berbangga kerana tahun ini Sarawak mencatat jumlah penerima tertinggi iaitu lima daripada sepuluh. Ini membuktikan kita mempunyai ramai pemimpin muda yang cemerlang dalam pelbagai bidang,” jelasnya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan para penerima dan finalis lain agar tidak berputus asa, sebaliknya terus berusaha kerana peluang untuk dicalonkan semula sentiasa terbuka.

“Teruskan berbakti kepada kemanusiaan tanpa mengira bangsa, budaya dan agama. Itulah inti pati sebenar JCI – service to humanity is the best work of life,” tambahnya.

Pada majlis itu juga, beliau menyampaikan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada JCI Miri sebagai sokongan terhadap usaha melahirkan lebih ramai pemimpin muda berkaliber.

Penganjuran berprestij yang buat julung kali diadakan di Miri ini turut diserikan dengan kehadiran pemimpin masyarakat, ahli JCI dari seluruh negara serta wakil sektor korporat, menjadikannya sebagai satu pencapaian bersejarah bagi JCI Miri.-EDISI UKAS