Premier Sarawak Adakan Lawatan Ke SK Abang Aing

Disiarkan pada 20 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS


SRI AMAN: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg meluangkan masa mengadakan lawatan ringkas ke Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Aing, sempena kunjungan beliau ke Pesta Benak, di sini, pada Sabtu.

Dalam siri lawatan berkenaan, beliau meluangkan masa sekitar 30 minit untuk mengetahui perkembangan projek naik taraf sekolah berkenaan, yang dikategorikan sebagai sekolah daif.

Dalam pada itu, beliau turut mendengar taklimat yang disampaikan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Ir Dr Cassidy Morris di Dewan Juma’ani SK Abang Aing.

Turut serta dalam lawatan berkenaan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Bukit Begunan Datuk Mong Dagang, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) Adana Jed, dan Ketua-Ketua Jabatan.

Menerusi kenyataan JKR Sarawak baru-baru ini, projek menaik taraf SK Abang Aing akan melibatkan pembinaan semula bangunan daif iaitu Blok A, B dan C, sebuah blok tandas baharu dan sub stesen Sesco.

Kerja-kerja pembinaan ini telah bermula pada 12 Ogos lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 11 Jun 2027. -EDISI UKAS