Sarawak Bakal Wujudkan Sirkit Regatta

Posted on 20 Sep 2025
Source of News: UKAS


SIMANGGANG: Sarawak bakal mewujudkan sirkit atau siri perlumbaan Regatta memandangkan trend terkini penganjuran Regatta yang semakin rancak di seluruh Sarawak.
 
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, siri perlumbaan Regatta diwujudkan dengan pendekatan baharu.
 
Menurutnya, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga dapat menjana pendapatan tambahan di tempat-tempat yang menganjurkan regatta.
 
"Oleh itu, kita terpaksa mengkaji semula sebagai sebahagian daripada suntikan ekonomi kepada ekonomi tempatan yang dapat menjana kegiatan bermanfaat kepada rakyat termasuklah perusahaan kecil dan sederhana.
 
"Justeru, belanjawan tahun baharu ini terpaksa kita ubah suai disebabkan oleh sirkit regatta memandang ia adalah sesuatu yang unik bagi Sarawak," katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Benak Batang Lupar 2025 di Tebingan Sungai Sri Aman pada Sabtu.
 
Ujarnya, pihak kerajaan mengambil kira daripada sudut trajektori ekonomi untuk PKS di samping turut merapatkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama kepada kawasan yang menganjur.
 
Dalam pada itu, fenomena benak yang menjadi satu tarikan dalam Pesta Benak ini perlu dipromosi memandangkan fenomena tersebut merupakan keunikan di Sri Aman dan bandar Simanggang yang mampu memberi kesan positif.
 
Justeru, Premier Sarawak menyatakan, bahagian Sri Aman perlu dinaik taraf secara jangka panjang melalui pembinaan infrastruktur seperti Jambatan Batang Lupar 2.
 
Jelasnya, ini akan memberi konektiviti yang menghubungkan Tanjung Bijat, Lingga dan Sebuyau serta salah satu jalannya juga akan menghubungkan ke Betong yang akan memendekkan perjalanan hanya 30 minit sahaja.
 
"Ini akan menjadi satu 'hinterland' yang dapat mewujudkan kegiatan ekonomi sama ada dari sudut sosial mahupun pertanian.
 
"Sebab itu, kita merancang secara menyeluruh agar Bandar Simanggang, Bahagian Sri Aman, dikaitkan dengan Bahagian Betong dan juga Bahagian Samarahan.
 
"Dengan adanya jaringan jalan, maka kita dapat membuka kawasan baharu maka kita menilai potensi ekonomi yang ada di kawasan-kawasan tersebut," jelas beliau.
 
Turut hadir, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, ketua-ketua jabatan serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS