BATU NIAH: Di sebuah pekan kecil yang jauh dari hiruk-pikuk bandar besar, keberanian seorang anak muda melangkah ke dunia keusahawanan menjadi bukti bahawa kemahiran, keyakinan dan disiplin mampu membuka jalan kejayaan.
Dengan menubuhkan Neeq’s Barbershop & Hairstylist di Pekan Batu Niah, usahawan muda ini tidak sekadar membina kerjaya sendiri.
Malah turut mencipta peluang pekerjaan serta menyediakan kemudahan kepada komuniti setempat yang dahagakan perkhidmatan gunting rambut moden dan berkualiti.
Kejayaan ini menarik perhatian Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat I (Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak), Datuk Rosey Yunus, yang hadir melawat premis tersebut.
Beliau memuji inisiatif berani itu dan menyifatkannya sebagai contoh terbaik semangat belia luar bandar yang tidak gentar mencuba sesuatu yang baharu.
“Golongan muda seperti ini membuktikan bahawa dengan kemahiran, keyakinan dan disiplin, mereka mampu mencipta peluang pekerjaan sendiri dan memberi manfaat kepada komuniti setempat,” katanya.
Bagi beliau, usaha sebegini tidak hanya meningkatkan taraf hidup individu, malah membawa impak positif kepada pembangunan ekonomi kawasan luar bandar.
Lebih penting, ia menjadi bukti bahawa belia mampu berdiri di atas kaki sendiri dengan kreativiti dan ketekunan.
Kunjungan Rosey itu juga mencerminkan sokongan berterusan kerajaan terhadap keusahawanan belia, sejajar dengan agenda pembangunan modal insan yang berteraskan kepimpinan dan inovasi.
Bagi masyarakat Batu Niah, kewujudan kedai gunting rambut moden ini mungkin kelihatan kecil, namun bagi seorang anak muda yang berani mencuba, ia adalah permulaan sebuah perjalanan panjang untuk membina kejayaan. — EDISI UKAS