120 Penduduk Di Parlimen Batang Lupar Terima Bantuan

Disiarkan pada 03 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


Ringankan Beban Hadapi Hari Lebaran

SIMANGGANG: Seramai 120 orang penduduk yang terpilih di kawasan Parlimen Batang Lupar menerima bantuan Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba tidak lama lagi.

Sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM100 dan segulung sejadah kepada setiap seorang telah disempurnakan oleh Ahli Parlimennya, Mohamad Shafizan Kepli di Masjid Al-Hana Lingga pada Selasa.

Menurut beliau, seramai 15 penduduk daripada lapan buah kampung telah terpilih untuk menerima bantuan tersebut.

“Seperti mana yang kita ketahui, masih terdapat ramai penduduk komuniti dan masyarakat di sekeliling kita diuji dengan kehidupan yang serba kekurangan terutama dalam mengharungi peningkatan taraf hidup di negara kita,” jelas beliau semasa berucap dalam majlis tersebut.

Justeru katanya, program seumpama ini dapat membantu mengurangkan serba sedikit beban dan tanggungan mereka dalam menyara keluarga masing-masing serta mengambil tahu akan kesusahan yang dialami oleh masyarakat terutama di kejiranan perumahan penduduk komuniti sekeliling.

Turut hadir Pemangku Pegawai Daerah Lingga Frank Lani, Pegawai Daerah Lingga Nurshazani Fadli Salihin, Temenggong Mohamad Shah Achang dan Penghulu Wan Amit Wan Kamil. -EDISI UKAS