SRI AMAN: Pesta Benak Edisi Ke-22 yang berlangsung selama tiga hari di Sri Aman tahun ini dijangka menarik kehadiran sekitar 70,000 orang pengunjung, sekali gus merancakkan suasana dan memberi lonjakan kepada aktiviti ekonomi setempat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis, berkata jumlah besar itu bakal memberi manfaat terus kepada penduduk melalui aktiviti perniagaan di kawasan pesta.
“Sebanyak 609 lot gerai jualan yang menjual barangan, makanan dan minuman bagi memenuhi keperluan dan permintaan pengunjung.
“Jadi dari sudut ekonomi, kehadiran pengunjung yang membanjiri sekitar tapak Pesta Benak ini akan menjanakan pendapatan dan aliran transaksi jual-beli di antara pembeli dan penjual, secara langsung dapat menyumbangkan pendapatan dan sosial ekonomi usahawan dan peniaga di bahagian Sri Aman,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Benak Edisi Ke-22 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, pada Sabtu.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, ketua-ketua jabatan serta tetamu kehormat lain.
Datuk Francis Harden yang juga Penasihat Jawatankuasa Pengelola Pesta Benak 2025 memaklumkan, penganjur tahun ini memperkenalkan pendekatan baharu dalam penyusunan gerai untuk memastikan kelancaran program.
“Pendekatan yang diambil termasuklah penyusunan lot gerai jualan secara berkluster contohnya bahagian makanan halal dan tidak halal, kraf tangan, pameran badan korporat dan kerajaan serta produk-produk tempatan.
“Jadi pelan kedudukan yang lebih tersusun dan tidak mengganggu aliran trafik dan pergerakan pengunjung dan juga plan tindakan dan strategi bagi memastikan tapak Pesta Benak kekal bersih,” katanya lagi. — EDISI UKAS