KUCHING: Sarawak menegaskan komitmen untuk mencapai sifar rabies menjelang 2030 selaras dengan sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pertubuhan haiwan antarabangsa. Namun, usaha membasmi penyakit itu ditekankan sebagai tanggungjawab bersama semua pihak, bukan hanya kerajaan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, berkata usaha ini perlu dipandang serius kerana kegagalan membasmi rabies akan memberi kesan buruk terhadap imej negeri.
“Saya selalu beritahu semua orang bahawa di pihak kerajaan, di peringkat tertinggi, kita serius untuk memastikan rabies bebas menjelang tahun 2030.
“Kenapa 2030? Ia bukan sasaran yang ditetapkan oleh kita, tetapi oleh pertubuhan dunia, WHO dan pertubuhan haiwan.
“Mereka tetapkan bahawa pada tahun 2030, seluruh dunia bebas rabies. Tetapi bagaimana itu boleh berlaku? Kita tidak mahu pada tahun 2030, seluruh dunia bebas rabies kecuali Sarawak,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Rabies Sedunia 2025 di Dewan Komuniti Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), hari ini.
Datuk Amar Dr. Sim turut menekankan, semua pihak perlu memainkan peranan, termasuk komuniti, pemilik haiwan peliharaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa tempatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS), serta rakan antarabangsa yang telah lama bekerjasama dalam usaha pembasmian rabies.
Kerajaan juga menyatakan penghargaan kepada pelbagai pelaburan serta sokongan padu masyarakat dalam memastikan sasaran sifar rabies dicapai.
Beliau dalam masa sama mengingatkan orang ramai tentang kepentingan mendapatkan rawatan segera sekiranya digigit atau dicakar haiwan.
Rawatan yang tersedia secara percuma di Sarawak memberi peluang besar kepada mangsa untuk pulih dan mengurangkan risiko kematian akibat rabies.
Hari Rabies Sedunia 2025 turut diisi dengan Program Vaksinasi Anti-Rabies, Pelesenan Anjing, Pemasangan Mikrocip, Program Pengkebirian Bersubsidi, Ceramah Kesedaran Rabies, Pameran Kedai Haiwan Peliharaan serta Pemeriksaan Kesihatan.
Pada sebelah pagi, acara Rabies Awareness Fun Run tajaan Boehringer Ingelheim telah menarik penyertaan orang ramai, manakala Persidangan Antarabangsa Rabies in Borneo 2025 (RIB 2025) akan diadakan pada 30 September hingga 1 Oktober di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK).
Majlis turut dihadiri oleh Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datu Elizabeth Loh, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) Datu Dr Adrian Susin Ambud, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Sayed Ismail Nasiruddin Dato’ Sri Wan Hashim, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Desmond Jerukan, serta Presiden Sarawak Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SSPCA), Datin Dona Drury Wee.— EDISI UKAS