MIRI: Empat anak muda Sarawak antara sepuluh penerima Ten Outstanding Young Malaysians (TOYM) 2025 yang diraikan dalam majlis penuh gemilang di Pullman Hotel, Miri pada Jumaat.
Majlis julung kali dianjurkan oleh Junior Chamber International (JCI) Miri itu telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin yang hadir mewakili Premier Sarawak.
Dengan tema “Trailblazing Change, Inspiring Generations”, TOYM 2025 memberi pengiktirafan kepada sepuluh belia negara yang cemerlang dalam bidang akademik, keusahawanan, kebudayaan, undang-undang, sukarelawan, pendidikan awal kanak-kanak dan pembangunan masyarakat.
Empat penerima dari Sarawak ialah Dr. Michelle Tiong dari Bintulu yang menghasilkan inovasi kelestarian melalui penyelidikan penangkapan karbon, Camillia Siaw Chia Wen, penyanyi kelahiran Sarawak yang mengangkat warisan budaya Bidayuh-Cina melalui muzik dan terapi klinikal.
Selain itu, Sylvester Lim Poh Sing dari Miri yang membangunkan dasar perlindungan kanak-kanak dan Alan Chai Ming Lun dari Kuching, usahawan di sebalik kejayaan minuman ikonik “Teh C Special Syrup”.
Penerima lain termasuk Potter Ka Kai Fong, Teoh Shaw Jhee, Kevin Khoo Kuan Xiong, Lum Kok Kiong, Kate Yong Sin Yee dan Jonathan Chan Heng Liang.
Menurut Pengerusi Penganjur, Candy Yong Chuen Tien, pengiktirafan ini bukan sahaja penghormatan, malah tanggungjawab besar untuk para penerima agar terus memberi inspirasi kepada generasi muda.
Penganjuran TOYM 2025 di Miri membuktikan komitmen JCI dalam memperkasa belia serta menjadikan Sarawak sebagai destinasi utama meraikan kecemerlangan anak muda di peringkat nasional dan antarabangsa.-EDISI UKAS