MIRI: Penganjuran Junior Chamber International Ten Outstanding Young Malaysians (JCI TOYM) 2025 di Miri membuktikan keupayaan negeri ini melahirkan pemimpin, inovator dan ikon muda yang mampu menyerlah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan, Sarawak bukan sahaja kaya dengan sumber, malah berupaya mengangkat bakat generasi muda sebagai aset penting masa depan negara.
“Tema tahun ini, Trailblazing Change, Inspiring Generations adalah satu cabaran kepada generasi muda untuk mencorakkan masa depan dengan keberanian dan inovasi,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin.
Majlis penganugerahan berprestij JCI TOYM pada Jumaat itu merupakan kali pertama diadakan di Sarawak sepanjang 40 tahun penganjurannya.
Premier Sarawak turut menekankan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan modal insan melalui pelbagai inisiatif, termasuk Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak yang akan bermula pada tahun 2026 serta Program Penambahbaikan Pendidikan Sarawak (SEEP) yang memberi manfaat kepada pelajar sekolah menengah, khususnya dari luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah.
Menurut beliau, finalis-finalis JCI TOYM 2025, khususnya dari Sarawak, bukan sahaja membanggakan keluarga dan komuniti, malah menjadi duta kecil negeri dengan mengharumkan nama Sarawak di peringkat kebangsaan.
Penerima anugerah juga berpeluang menonjol di pentas antarabangsa melalui JCI Ten Outstanding Young Persons of the World.
Majlis bersejarah ini sekali lagi meneguhkan mesej bahawa Sarawak sentiasa bersedia menjadi tuan rumah acara bertaraf kebangsaan serta berdaya saing dalam melahirkan generasi muda berwibawa untuk mencorakkan masa depan negara.-EDISI UKAS