Persidangan Diabetes Borneo Kali Ke-3 2025 Himpun Lebih 400 Pakar Kesihatan Serantau

Disiarkan pada 20 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Bandaraya Miri sekali lagi menjadi tumpuan penganjuran Persidangan Diabetes Borneo Kali Ke-3 2025 yang menghimpunkan lebih 400 pakar kesihatan serantau pada Jumaat.

Majlis perasmian persidangan itu disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr. Sim Kui Hian.

Dalam ucapannya, Dato Sri Lee menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana berjaya melaksanakan persidangan berimpak tinggi yang menyatukan pakar kesihatan dari rantau ini bagi memperkukuh usaha menangani isu diabetes dan obesiti.

Menurut beliau, penganjuran persidangan peringkat antarabangsa di Miri membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkasakan bidang kesihatan, di samping menyokong agenda pelancongan dan pembangunan ekonomi negeri.

Selain itu, beliau turut menekankan bahawa kerajaan negeri terus memberi tumpuan terhadap pembangunan infrastruktur, pengukuhan perkhidmatan kepakaran di Hospital Miri serta peluasan akses kesihatan ke kawasan pedalaman utara Sarawak.

Persidangan tersebut turut diserikan dengan kehadiran penceramah jemputan dari dalam dan luar negara yang membincangkan pelbagai aspek berkaitan rawatan, pencegahan dan pengurusan diabetes.-EDISI UKAS