LUNDU: Program Connecting Communities: Bridging With Skills anjuran Politeknik Kuching mampu tingkatkan kesedaran keselamatan elektrik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang berkata, program yang juga Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) memberi manfaat berganda kerana bukan sahaja membantu penerima secara langsung, tetapi turut meningkatkan kesedaran keselamatan elektrik dalam kalangan masyarakat.
“Pendawaian rumah perlu diselenggara semula selepas tempoh tertentu bagi mengelakkan risiko kebakaran, khususnya rumah kayu. Pendekatan turun padang yang dipraktikkan dalam program ini sangat berkesan kerana ia memberi pengalaman terus kepada pelajar dan penduduk, bukan sekadar teori,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program tersebut di Dewan SK St Teresa Stenggang pada Jumaat.
Program dua hari yang berlangsung dari 18 hingga 19 September itu melibatkan 22 pelajar Politeknik Kuching yang turun padang melaksanakan kerja pendawaian semula rumah secara percuma kepada dua penerima di Kampung Stenggang, iaitu Jiking Nyundet dan Santak Urong.
Selain itu, turut diadakan bengkel keselamatan elektrik yang memberi pendedahan asas berkaitan pemasangan extension cord dan lampu kepada penduduk kampung,
Seramai 20 murid SK St Teresa Stenggang turut diberi pendedahan dalam aktiviti berbentuk Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memupuk minat kepada generasi muda.
Selepas majlis, Billy Sujang berkesempatan meninjau projek Jalan Pertanian Ruh Puluoh–Sungai Situ, Kampung Stenggang, yang sedang dilaksanakan bagi meningkatkan akses pertanian dan memperbaiki kemudahan asas penduduk setempat. -EDISI UKAS